Zainol MacWilson terpaksa Tipu Kahwin Atas Permintaan Keluarga Perempuan


PETALING JAYA: Pelakon Zainol MacWilson berkata, dia terpaksa menipu mengenai perkahwinannya di Perlis pada Ahad lalu sebagai memenuhi permintaan keluarga perempuan. Zainol atau nama sebenarnya Zainol Mohd Johari MacWilson, 57, berkata, pihak perempuan enggan pernikahan mereka diketahui umum dan perlu disembunyikan buat sementara waktu.

 "Saya tidak niat untuk menipu tentang perkahwinan yang berlangsung pada Ahad lalu, namun itu adalah permintaan pihak perempuan yang tidak mahu diketahui umum. "Kalau ikutkan saya lebih suka perkara yang baik itu tersebar, tapi dia minta saya rahsiakan sampai satu masa yang dia sudah bersedia. Namun malangnya gambar kami sudah tersebar lebih pantas," ujarnya kepada mStar Online.  Terdahulu Zainol dilaporkan menafikan perkahwinannya dengan seorang wanita di Perlis, Ahad lalu sebaliknya mendawak ia adalah gambar adegan sebuah drama.

Namun perkara itu disangkal oleh bekas suami wanita berkenaan yang bernama Rizal yang turut menuntut Zainol mengaku perkahwinan itu. Dalam pada itu Zainol berkata, wanita berkenaan adalah seorang ibu tunggal beranak dua hasil perkahwinan terdahulu yang bertugas sebagai seorang guru. Katanya, majlis tersebut diadakan secara sederhana di sebuah lokasi yang dihadiri keluarga dan rakan-rakan terdekat sahaja.

 Dalam pada itu, Zainol berkata, dia turut merahsiakan majlis perkahwinan berkenaan daripada anaknya pelakon Zahira MacWilson. "Saya hanya beritahu beberapa orang rakan terdekat sahaja, anak saya Zahirah pun tidak tahu tentang perkara ini hingga semalam selepas membaca berita yang keluar. "Dia menghubungi saya dan meminta agar saya berterus terang sahaja kerana lambat laun ia akan diketahui umum," ujarnya yang enggan berkongsi lanjut mengenai isterinya itu.

 Sementara itu, bercerita tentang wanita berkenaan, Zainol berkata, dia mengenali wanita itu sejak sekian lama namun jarang berjumpa. Bagaimanapun, dia menafikan wanita tersebut sebagai orang ketiga punca rumah tangganya musnah. "Dia bukan punca perpisahan saya dengan ibu Zahirah, hubungan saya dengan bekas isteri memang sudah lama bermasalah dan tidak sefahaman dalam banyak perkara termasuk membenarkan Zahirah menjadi artis. "Dalam masa yang sama dia (isteri ketika ini) juga mempunyai masalah dengan suaminya dan telah terinaiya selama 13 tahun mereka berkahwin," ujarnya.

 Dalam pada itu, Zainol berharap agar orang ramai turut mendoakan kebahagian rumah tangga yang baharu dibina ini. Katanya, dia juga memohon maaf andai penafiannya mengenai perkahwinan berkenaan pada Selasa telah menimbulkan kekeliruan banyak pihak. "Saya harap orang doakan yang baik-baik buat kehidupan baru saya ini, janganlah kecam atau hukum saya tanpa mengetahui berita yang sebenar," ujarnya yang kini menetap di Perlis.

 Sementara itu, Zainol akan mengadakan sebuah majlis kesyukuran secara sederhana pada Hari Raya ini di Kangar Perlis. Zainol sebelum ini pernah berkahwin dengan Maslinda Yusof, 41, dan bercerai pada 9 November lalu. Pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata termasuk pelakon Zahirah MacWilson.
==[close]==