JURULATIH perseorangan negara, Hendrawan sifatkan peluang 50 - 50 buat Datuk Lee Chong Wei disenaraikan dalam skuad bagi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Hyderabad, India.
Tidak dinafikan kelibat Chong Wei pastinya menjadi antara tunjang negara bagi Kejohanan Berpasukan itu nanti.
Apatah lagi ia menawarkan tiket kelayakan ke saingan Piala Thomas di Kunshan, China pada bulan Mei.
Jelas Hendrawan lagi, apa yang penting adalah tahap semasa Chong Wei agar pemain itu tidak terjejas dengan sebarang pertandingan yang disertainya.
"Memandangkan faktor umur Chong Wei memainkan peranan tersendiri. kami harus pastikan dia sentiasa berada dalam keadaan sihat.
"Tentunya Chong Wei mengutamakan Sukan Olimpik dan Piala Thomas. Bagi Kejohanan Berpasukan Asia (BAC), kami akan awasi kecergasannya," kata Hendrawan.
Dalam pada itu, Hendrawan optimis Chong Wei punyai tempoh yang memadai untuk menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik ranking dunia.
Sekali gus memberikannya status sebagai antara pilihan bagi undian saingan di Olimpik Rio nanti.
Meskipun Chong Wei punyai penyertaan pertandingan yang terhad tahun ini, Hendrawan sifatkan jurang kutipan mata di antara pemain di kelompok ranking ketiga dan kelima dunia tidak jauh berbeza.
"Kami tidak mengutamakan kepulangan Chong Wei ke ranking No.1 dunia lagi. Memang kedudukan memainkan peranan dalam kelayakan Olimpik tetapi Chong Wei hanya perlu sasar tempat keempat dan ke atas," tambahnya.