Penjaga Gol Piala Presiden Perlis Maut Kemalangan

Penjaga Gol Piala Presiden Perlis Maut Kemalangan

Penjaga gol Piala Presiden Perlis, Muhammad Saiful Niza Nasir, 18, disahkan terbunuh dalam satu kemalangan di Jalan Raja Syed Alwi, Titi Chai, di Kangar, semalam.    

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Superintendan Zaini Talib, dalam kejadian pukul 7.45 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri, dikatakan mengelak sebuah lori padi yang diletakkan di bahu jalan.

"Semasa mengelak, penjaga gol itu merempuh kabel penambat tiang elektrik berdekatan lori tersebut menyebabkan kepalanya terpisah dari badan," katanya.    

Katanya mangsa dalam perjalanan dari rumah sewa beliau di Taman Kemajuan, Kangar ke Gunung Medan di Utan Aji untuk menjalani latihan bersama pasukan Perlis.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk proses bedah siasatan.

Bapa mangsa, Nasir Mat Arip, 47, berkata beliau dan ahli keluarganya berada di Penaga, Pulau Pinang dan telah bergegas ke Perlis sebaik diberitahu oleh anak perempuannya, Anis Maisara, 21, mengenai kemalangan itu.    ‎

"Saya tidak sangka dia pergi dulu dari saya. Baru Ahad lepas arwah telefon memberitahu dia akan beraksi bersama pasukan Perlis dalam Liga Perdana musim ini.    

"Hasrat saya melihat dia pergi lebih jauh dalam bola sepak negara tidak kesampaian. Saya redha dengan ketentuan Allah SWT," kata pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu semasa ditemui di bilik mayat hospital berkenaan.

Menurutnya lagi Muhammad Saiful, yang merupakan anak ketiga dari lima beradik dan dikenali sebagai 'Bob' oleh rakan-rakan sepasukannya, dijadualkan menandatangani kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) sebagai penjaga gol simpanan kedua esok.

Sementara Ketua Jurulatih Perlis, Dollah Salleh yang ditemui di luar bilik mayat HTF terkejut dengan kemalangan itu yang meragut nyawa Muhammad Saiful.    

"Saya sedih dengan pemergiannya. Saya terkilan tidak dapat melihat potensi arwah yang mempunyai bakat menjadi penjaga gol terbaik dengan ketinggian hampir 180 sentimeter," kata Dollah. 

Muhammad Saiful pernah bermain untuk Frenz United Bawah 15 tahun dan pasukan Piala Presiden Perlis selain mewakili pasukan Sekolah Sukan Negeri (SSN) (Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hassan, Kangar) dalam Liga KPM.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Falah, Behor Mempelam di Arau selepas solat Asar hari ini.

Sementara itu, pengurus pasukan Perlis, Afifi Osman berkata segala urusan pengebumian jenazah Muhammad Saiful diuruskan oleh Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim. 
==[close]==