Gambar Ihsan - Kosmo
ALOR SETAR – Seorang tukang masak koma akibat pendarahan pada kepala selepas dia dipercayai terjun dari kereta dipandu bekas suaminya sebelum digilis sebuah kereta lain dalam kejadian berhampiran persimpangan Jalan Simpang Pinang Jaya, Bukit Pinang di sini semalam. Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Rosniza Fadzil, 30, dikatakan terjun dari kereta dipercayai jenis Proton Wira itu kerana mahu melarikan diri daripada bekas suaminya berusia 53 tahun.
Mangsa sebelum itu dikatakan menunggang motosikal jenis Yamaha Ego untuk ke tempat kerja, namun dia dihimpit sebuah kereta dipercayai dipandu bekas suaminya di Bukit Inas, Bukit Pinang kira-kira satu kilometer dari rumahnya di Kampung Lengkuas, Bukit Pinang. Difahamkan, mangsa kemudian dipaksa masuk ke dalam kereta itu sebelum dia dipercayai terjun dari kenderaan tersebut yang sedang bergerak kira-kira satu kilometer dari tempat dilarikan.
Nasib mangsa menjadi lebih buruk apabila dia kemudian digilis sebuah kereta lain yang gagal mengelaknya kerana keadaan ketika itu masih gelap. Ketika dilarikan, kedua-dua belah tangan mangsa dipercayai diikat dengan tali pengikat langsir, bagaimanapun ikatan itu didapati telah terlerai ketika dia ditemui.
Saksi kejadian, Norain Abdul Kadir, 50, memberitahu, semasa kejadian, dia sedang membungkus nasi lemak di kedai makannya yang terletak di bahu jalan. “Saya terkejut apabila ternampak seorang perempuan terjatuh dari sebuah kereta dipandu laju betul-betul di hadapan saya dan belum sempat orang ramai mengalihkannya ke tepi jalan, mangsa dilanggar sebuah lagi kereta.