Seringkali kita mendengar golongan suami yang berlaku curang terhadap pasangan tetapi kali ini berlainan pula apabila isteri yang disayanginya menjalani hubungan sulit dengan lelaki lain. Malah apa yang lebih malang apabila anak yang dijaga dengan penuh kasih sayang selama ni rupanya bukan dari darah daging sendiri. Sedih, geram, marah menyelubungi hati kami bila baca tentang kisah ni.
Mengimbau kembali kejadian yang menimpanya, Amirul berkata, semuanya bermula pada 2010 apabila dia sering mendengar orang bercerita mengenai isterinya (yang kini bekas isteri) dikenali sebagai Rafidah (nama samaran) mempunyai hubungan sulit dengan rakan sepejabat berstatus suami orang.
Bagaimanapun, katanya, pada mulanya dia menganggap ia hanya 'cakap-cakap orang' dan tidak mempedulikannya.
Sehinggalah pada suatu hari, isteri kepada kekasih gelap Rafidah datang ke rumahnya di Seremban memberitahu mengenai hubungan sulit kedua-duanya.
“Saya terkejut mendengar berita itu, apatah lagi isteri lelaki itu yang datang sendiri berjumpa saya.
“Bagi mendapatkan penjelasan, saya bertanyakan sendiri kepada isteri. Akhirnya dia mengaku memang ada skandal dengan lelaki itu," katanya.
Menurutnya, disebabkan tidak sanggup menerima berita berkenaan, dia akhirnya menceraikan Rafidah dengan talak satu di hadapan ibu dan mentuanya pada Julai 2010.
"Saya buat begitu sebab sikapnya yang tidak pernah berubah walau pun sudah diberi peluang,”
Menurutnya, dalam tempoh penceraian itu, Amirul turut memberi peluang kepada bekas isterinya untuk berubah dan menginsafi diri demi masa depan anak.
Atas kesepakatan itu, katanya, mereka merujuk kembali pada November 2010 dan hidup bahagia memandangkan pada waktu itu isterinya hamil tiga bulan.
Cerai kali kedua
Bagaimanapun, kebahagiaan itu tidak lama, selepas rujuk kembali, isterinya berubah hanya seketika.
Menurutnya, pada November 2013, melalui rakan-rakan pejabatnya, Amirul dimaklumkan isterinya mula menjalin hubungan semula dengan kekasih lamanya sejak mereka dipindahkan ke pejabat sama di Rembau.
“Mereka yang merupakan penjawat awam di pejabat yang sama, tidak segan silu berkongsi kemesraan melalui laman sosial bersama teman-teman lain. Bahkan bersikap berani sehingga ke bilik tidur, walau pun kedua-duanya telah berkeluarga.
“Saya ambil keputusan menceraikannya buat kali kedua, sebelum mengetahui dia pernah ditangkap khalwat oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) pada Ogos tahun lalu di sebuah hotel di Jempol,"
Setelah berpisah, katanya, bekas isterinya bersetuju memberi dua orang anak dan hak penjagaan kepada Amirul, kecuali anak bongsu.
Menurutnya, dia kemudian mengesyaki ada tidak kena apabila abangnya menegur rupa paras anak bongsunya dengan adik beradik lain nampak tidak sama, malah jauh berbeza dari segi kulit dan gaya rambut.
Amirul berkata, setelah diteliti, paras rupa anak bongsunya mirip dengan anak keluarga lelaki kekasih gelap isterinya itu sehinggalah keputusan DNA keluar, barulah Amirul tahu anak itu sebenarnya bukan anaknya.
“Setelah empat tahun saya menjaganya, memberi kasih sayang dan menjaga sepanjang tempoh berpantang, ini balasan diterima.
“Saya tak pernah menyangka, hubungan mereka terlalu jauh sehingga melibatkan anak. Kini saya telah failkan ke mahkamah syariah bagi menentukan nasib anak itu yang selama ini ber'bin'kan nama saya,”
Amirul berkata, dia menceritakan kisah ini bagi memberi teladan kepada orang ramai agar sentiasa berwaspada dan menjaga tingkah laku pasangan masing-masing.
Sumber : Sinar Harian Online