(VIDEO) TERKINI Jaafar Onn Pula Jadi Mangsa ‘Pengganas’


Gambar pelakon Jaafar Onn dipegang oleh salah seorang anggota kumpulan 

PETALING JAYA: Pelakon Jaafar Onn tidak berhasrat untuk membuat laporan polis susulan penyebaran sebuah video terbaharu yang mengeksploitasi wajahnya dipercayai didalangi kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Anak Malaysia Anti Demokrasi (AMAD).

 Jaafar, 64, berkata, dia enggan mengambil tindakan kerana tidak mahu terjebak dalam permainan kumpulan itu yang disifatkan sebagai pengecut. "Itu permainan mereka dan rasanya tidak perlu saya layan dengan membuat laporan polis kerana ia membuang masa.
"Mereka juga bukanlah orang yang berani kerana muka sendiri pun berselindung disebalik topeng," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Menerusi video berdurasi 1 minit 27 saat itu memperlihatkan tiga orang lelaki yang berpakaian hitam dan bertopeng mengancam akan membunuh Ketua Polis Negara (KPN) dengan meletupkan kereta miliknya.

Terdahulu, pada 16 Februari lalu, aktres Nora Danish membuat dua laporan polis selepas gambarnya digunakan dalam sebuah video yang didalangi oleh kumpulan yang menggelarkan diri mereka Anak Muda Malaysia.

Mereka mengancam untuk menyerang mahkamah pada 18 Februari lalu dengan membakar bunga api sebagai bantahan terhadap sistem keadilan negara.

Dalam pada itu, Jaafar berkata, dia tidak perlu gentar dengan sebarang ugutan kerana tidak pernah melakukan sebarang kesalahan terhadap mana-mana pihak.

"Allah ada bersama saya. Buat apa saya hendak takut, lagipun saya tidak melakukan sebarang kesalahan atau berdendam dengan sesiapa," katanya.



==[close]==