Pertengkaran suami isteri memang sudah menjadi asam garam berumah tangga. Baik yang baru berkahwin mahupun yang telah berpuluh tahun bersama tetap akan melaluinya. Malah kehangatan sambutan hari raya Aidilfitri yang bakal tiba ini juga mungkin mengundang pertengkaran antara suami isteri.
Walaupun menyakitkan perasaan, namun pertengkaran dikatakan dapat mematangkan pasangan selain lebih mengenali diri dan personaliti suami mahupun isteri. Ok, kita lihat dulu dari sudut buruknya, pertengkaranboleh menyebabkan pasangan suami isteri berpisah ataupun bercerai berai. Gagal mengawal emosi, geram dan kecewa menyebabkan ada isteri yang menuntut untuk berpisah tatkala bertikam lidah. Ambooii... sampai tahap ni ya? Dan kegagalan suami mengawal amarah kadang menyebabkan tangan cepat saja naik ke tubuh isteri dan tak kurang juga terkeluar lafaz talak yang akhirnya menimbulkan penyesalan yang berpanjangan.
Untuk elak, lihat tip bagaimana mengawal diri ketika bertengkar dengan pasangan:
1. Elak ambil keputusan drastik Jangan sesekali mengambil keputusan untuk keluar atau lari daripada pasangan ketika bertengkar. Tindakan anda sebenarnya tidak akan menyelesaikan masalah malah menambahkan lagi amarah pasangan selain boleh mengusutkan lagi keadaan. Meskipun alasannya untuk menenangkan diri tapi tindakan tersebut mungkin akan hanya menyusahkan pasangan dan membimbangkannya. Terutama sekali jika pasangan sudah mempunyai anak-anak.
2. Cari teman luahkan isi hati Luahkan isi hati dengan rakan karib, ibu ataupun sesiapa yang anda percayai. Lebih elok jika anda berbincang dengan pasangan anda sendiri untuk menyatakan perasaan tidak puas hati. Namun jika anda meluahkannya pada pasangan, pastikan dengan cara yang baik bimbang pertengkaran makin besar. Pastikan anda tidak mencari orang lain yang di luar persekitaran hidup anda untuk mengelakkan berlakunya skandal atau hubungan sulit. Kebanyakan hubungan sulit selalunya terjadi kerana anda meluahkan perasaan pada orang yang salah. Bermula bibit simpati timbul bibit cinta kerana pendengar lebih prihatin daripada pasangan sendiri. Jadi jangan biar diri anda terperangkap dengan cinta terlarang!
3. Tenangkan fikiran Sebesar mana pun pertengkaran yang anda lalui dengan pasangan janganlah anda terlalu memikirkannya. Anda akan jadi buntu mencari jalan penyelesaiannya. Oleh itu sebaiknya tenangkanlah fikiran anda beberapa ketika dan janganlah terlalu asyik memikirkannya. Ambil masa, supaya jalan penyelesaian yang anda pilih betul dan tidak membahayakan rumah tangga. Ini kerana fikiran pasti akan terganggu selepas pertengkaran, jika anda terikut dengan emosi yang masih marah, anda mungkin membuat keputusan atau mencari jalan penyelesaian yang salah.
4. Berdoa Dalam Islam mereka yang merasakan dirinya gagal mengawal emosi dengan baik seperti perasaan marah yang meluap-luap, sedih mahupun kecewa dinasihatkan mengambil wuduk dan bersembahyang sunat. Mengambil wuduk boleh melapangkan fikiran dan melegakan kegelisahan hati yang sedang hebat bergelut dengan emosi. Berwuduk dan bertafakur seketika agar anda dapat merasakan ketenangan meresap dalam jiwa. Doakan agar pasangan anda berubah laku dan rumah tangga anda sejahtera daripada Allah.
5. Jangan menghukum diri atau salahkan pasanganAnggaplah masalah sebagai satu daripada dugaan hidup yang telah ditetapkan untuk anda. Jangan menghukum diri sendiri atau menuding jari menyalahkan pasangan atas pertengkaran yang berlaku. Lihatlah semula pada diri anda, kaji sikap anda dan perbaiki apa yang perlu. Jangan biarkan emosi yang tak sihat merosakkan rumah tangga hingga anak-anak turut menjadi korbannya. Berfikirlah dengan waras, jangan terlalu menurut kata hati. Ingatlah bahawa setiap pertengkaran yang berlaku antara anda dan pasangan pasti ada hikmah dan pengajarannya.
Sumber : Mingguan Wanita