Dia penyelamat saya dan suami, dia datang tepat pada waktunya

Kuala Lumpur: "Dia penyelamat saya dan suami. Syukur dia datang tepat pada waktunya kalau tak ada dia, tak tahu macam mana keadaan kami ketika itu," kata Erny Mozaliza Goldah, 33 yang terharu dengan sikap prihatin seorang peronda di Lebuhraya KL-Kuala Selangor Expressway BerhadBerhad (LATAR) yang membantu dia dan suaminya ketika tayar motosikal mereka bocor terlanggar paku, Sabtu lalu. Katanya, ketika kejadian pada 6 petang itu dia dan suami, Azman Arshad,36, dalam perjalanan dari Kuala Selangor untuk pulang ke rumah mereka di Cheras. "Ketika melalui lebuhraya itu, tiba-tiba motosikal kami terlanggar paku menyebabkan tayar bocor. Syukur, suami dapat kawal keadaan dan terus berhenti di bahu kiri jalan. "Kami terus menghubungi talian hotline Lebuhraya LATAR untuk mendapatkan bantuan dan ketika itu juga hujan lebat . Tidak lama kemudian peronda Lebuhraya LATAR dikenali sebagai Harun yang berusia lingkungan 40-an tiba pada 6.30 petang untuk memberikan bantuan. "Dia menawarkan kami berteduh di dalam kenderaan pacuan empat roda miliknya selain cuba memasukkan motosikal berkuasa tinggi itu ke dalam kenderaan berkenaan tetapi gagal disebabkan masalah teknikal," katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam. Erny berkata, peronda berkenaan memaklumkan kepada saya dan suami mengenai masalah yang dihadapi dan dia kemudiannya cuba mencari alternatif lain termasuk meminta bantuan lori peronda lain yang lebih sesuai untuk mengangkut motosikal berkenaan. "Ketika sedang menanti lori itu sampai dalam tempoh satu jam, dia ada memberitahu kami mengenai keadaan di Lebuhraya ini yang kerap menjadi sasaran penjenayah terutama apabila mengetahui ada kenderaan pengguna LATAR rosak dan sebagainya. "Nasib kami baik apabila ada peronda lebuhraya yang rela hati dan ikhlas mahu membantu dan menemankan kami sehingga semuanya selesai berikutan cuaca ketika itu juga tidak berapa baik," katanya. Katanya, dia melihat peronda berkenaan sangat bertanggungjawab selain bersyukur tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku berdasarkan apa yang dimaklumkan En. Harun yang sangat berpengalaman sebagai peronda di kawasan terbabit. "Dia (Harun) juga ada berkongsi beberapa insiden curi dan samun termasuk pasangan suami isteri yang kehilangan barang berharga akibat perbuatan tidak bertanggungjawab segelintir individu pada minggu lalu di sekitar kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R), LATAR. "Saya sangat berterima kasih kepada Harun atas bantuan yang diberikan kerana tanpa dia mungkin saya dan suami juga akan menerima nasib yang sama. Susah nak jumpa orang yang baik hati dan bertanggungjawab seperti dia," katanya.
==[close]==