SHAH ALAM – Muslimat Pas Melaka hari ini menyuarakan bantahan mereka terhadap penganjuran satu program Kerajaan Negeri Melaka yang membawa 52 ratu cantik dunia ke negeri itu.
Menurut Ketua Muslimat Pas Melaka, Kintan Man, penganjuran program tersebut mengeksploitasi fitrah maruah wanita sekaligus melanggar syariat Allah.
“Kami pandang serius atas usaha dan tindakan yang diambil oleh kerajaan Negeri kerana dengan itu mengiktiraf pertandingan itu. Banyak lagi usaha yang boleh diambil oleh kerajaan negeri untuk mempromosi Melaka.
“Pendapatan kerajaan negeri boleh dijana menerusi bidang pelancongan seperti contoh menaik taraf tempat-tempat pelancongan untuk menarik lebih ramai pelancong, mempromosikan budaya Gotong Royong di kalangan masyarakat Melayu,” katanya sebagaimana lapor Sinar Online.