KUANTAN: Seorang lelaki dilapor lemas ketika mandi bersama isteri dan kawan-kawannya di sungai Kampung Perian, Pulau Tawar, Jerantut pada Isnin. Ketua Polis Daerah Jerantut, Supt Azid Ismail berkata mangsa dikenali sebagai Muhammad Aiman Syafiq Norsiddin, 18, dari Felda Kesidang Jengka 8, Bandar Pusat Jengka.
"Mangsa bersama isteri dan beberapa orang lagi rakannya telah pergi ke sungai berkenaan untuk mandi kira-kira pukul 6.30 petang. Mangsa tiba-tiba lemas dan cuba diselamatkan oleh rakan-rakannya, namun gagal," katanya.
Menurut rakannya, Muhammad Zaidi Jaafar, 20, ketika kejadian, air sungai agak terlalu deras sehingga dia sendiri juga nyaris lemas. "Kami tiba di tempat kejadian lebih kurang jam 5.30 petang. Ketika sampai, kami bertemu dengan empat lagi kawan arwah (mangsa).
"Saya dan salah seorang kawan dia berenang dahulu. Kawan dia lepas ke seberang, tapi saya tidak lepas jadi saya patah balik. Ketika hendak patah balik, kaki saya kejang dan nyaris lemas," katanya. Mangsa kemudiannya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan kira-kira 80 meter dari tempat mangsa mandi. Mangsa disahkan meninggal di Hospital Jerantut.