Hanya Dibayar RM1500 setelah dinding rumah dihentam Tayar Treler


Maran: “Saya seperti tidak percaya apabila melihat gambar melalui aplikasi WhatsApp yang dikirim penduduk kampung. “Tayar lori treler menghentam ruang tamu rumah saya. Tidak dapat saya bayangkan jika kami sekeluarga berada dalam rumah,” kata Imam Masjid Kampung Luit, Mohd Bukhari Mohd Amin, 30. Pada kejadian jam 7.40 malam kelmarin, sebahagian daripada rumah Mohd Bukhari yang terletak di Jalan Kuantan-Maran berhampiran Masjid Kampung Luit ranap terkena tayar yang tercabut daripada lori membawa makanan ayam. Difahamkan, lori berkenaan milik sebuah syarikat di Alor Akar, Kuantan dan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan.

 Bagaimanapun, ketika kejadian, dia bersama isterinya, Wan Nor Azirah Wan Abdullah, 30, berada di Hospital Pakar Kuantan di Kuantan untuk melakukan pemeriksaan perubatan. Tiga anak ditinggalkan bersama ibunya, Siti Sepiah Hashim, 77, di kampung sama.

 Mohd Bukkhari berkata, selepas melihat gambar itu, dia dan isteri bergegas pulang ke rumah untuk melihat keadaan rumahnya sebelum terkejut mendapati ruang tamu rumahnya berselerak. Dinding rumah pula pecah dan silingnya juga rosak. “Kejadian ini menyebabkan saya kerugian RM20,000. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana tergerak hati untuk meninggalkan anak yang berusia tujuh dan 11 tahun di rumah ibu.
“Jika tidak, saya tidak tahu apa akan jadi pada mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Mohd Bukhari berkata, dia sudah bertemu dengan pemandu lori itu yang berasal dari FELDA Bukit Goh, Kuantan dan pemilik kenderaan berat berkenaan. Bagaimanapun, dia tidak berpuas hati apabila pemilik kenderaan terbabit hanya mahu membayar ganti rugi RM1,500.

 “Apa yang saya boleh buat dengan jumlah ganti rugi itu... hendak beli simen pun tidak lepas, apatah lagi membeli batu-bata untuk membina semula dinding rumah,” katanya. Menurutnya, susulan kejadian, dia sudah membuat laporan polis di Balai Polis Sri Jaya, dekat sini, kira-kira jam 9 malam hari sama. Katanya, beliau bersama keluarga kini menumpang di rumah ibunya buat sementara waktu. Namun katanya,

beliau tetap akan menuntut ganti rugi daripada pemilik kenderaan berkenaan bagi membina semula rumahnya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Mat Rizal Mat Radzi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.
==[close]==